Wednesday 11 December 2013

KEPERIKEMANUSIAAN YANG SEMAKIN HILANG

Sedih, Terkilan, Kecewa, dan Hampir menitis air mata melihat betapa kejamnya manusia. Bagaimana seorang ibu begitu tergamak membuang anaknya? Dia cuma seorang bayi. Tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Hanya tahu menangis... Lebih kejam lagi bila seorang ibu sanggup melemparkan anak sendiri dari pangsapuri. Kemana hilangnya keperikemanusian itu? Tidak terdetikkah perasaan sayang dalam diri? Binatang pun tahu sayangkan anak. Cerita di bawah hanya sekadar satu perkongsian.... Satu kisah benar.

Ketika itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak oleh seorang bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya bukanlah minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya terima ajakan bapa saudara saya tadi. 

Masih saya ingat, beberapa jam berburu,matahari pun sudah meninggi, tapi tiada seekor haiwan pun melintas di hadapan kami. Pelanduk, napuh, rusa, ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan itu, seolah-olah bersembunyi jauh dari kami. Hutan itu sepi. 

Saya bertambah rimas, pak cik pula saya lihat mula kecewa. Hari kian beranjak petang, pak cik menepuk-nepuk senapang Relanya. Kata pak cik, 

"Kita balik ajalah, hari ni tak ada apa-apa.Mungkin esok ada habuan." 

Kami berjalan pulang, tapi selang dua tiga puluh langkah, kami terdengar suara riuh-rendah di sebalik pokok-pokok besar di hadapan kami. Saya mengamati suara itu, ternyata ia datang dari sekawan monyet yang sedang memakan buah-buah hutan. 

Saya perhatikan pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu. Di bibirnya ada sebaris senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya. 

Adakah pak cik hendak menembak monyet-monyet itu? 

"Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak cik nak ambil anaknya, nanti boleh bela," begitu jawapan pak cik. 

Masih saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya membatalkan hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya. 

Tidak akan saya lupa kata-kata pak cik petang itu: 

"Daripada balik tangan kosong? " 

Lalu dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi, dan ? 

DAMMM!!! 

Demi berdentum saja senapang, bercempera dan lintang-pukang monyet- monyet tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyi ranting patah serta jerit pekik haiwan berkenaan. 

BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah. 

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan kami. Saya dan pak cik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan, tercampak tidak jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit. 

Si ibu merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun. Dengan bersusah payah sambil tangannya mencapai akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekap perut yang masih berdarah. 

Ia berusaha melangkah tapi terjatuh semula. Digagahi lagi sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan jatuh, bangun mendapatkan ibunya. 

Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan menatap wajah anaknya puas-puas, kemudian dicium berkali-kali. Setelah itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya. 

Saya dan pak cik terdiam melihat si anak menghisap susu manakala ibunya mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit. Hati saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya. 

Saya tidak mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas-puasnya, kerana selepas ini ibu akan pergi. 

Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau kepanasan. 

Mata si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat si anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya. 

Matanya saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami dengan pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia. 

Dosa apakah yang aku lakukan hungga aku ditembak? Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah ini? Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah, begitu juga dengan si anak yang masih di pelukannya. 

Beberapa detik kemudian, dengan tenaga yang masih berbaki, kami lihat si ibu mencium anaknya untuk ke sekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ditanah, bisa penabur dari muncung senapang pak cik tadi tidak dapat ditanggung lagi. 

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan diri dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, si anak tadi menyusu semula. 

Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan pak cik, dia beberapa kali menggetap bibir cubamenahan air matanya daripada tumpah ke pipi. 

Tapi bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang- goncang tubuh ibunya, akhirnya air mata kami tumpah juga. Saya betul-betul kesal dengan apa yang berlaku. 

Suasana sunyi kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang. Biarpun ia terus menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang telah mati. 

Di dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak cik. Pada ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang hodoh, tapi mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa sayang kepada ibu. Tapi kita manusia?? 

2 comments: